Pengenalan:
Sosiolinguistik merupakan gabungan perkataan sosio dan linguistik yang bermaksud kajian bahasa secara saintifik dalam bidang sosial. Terdapat beberapa pendapat tentang definisi sosiolinguistik.
Menurut Nik Safiah Karim (1981), sosiolinguistik ialah bidang yang menumpukan perhatian kepada bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan, manakala Peter Trudgill (1974) berpendapat bahawa sosiolinguistik merupakan satu cabang ilmu yang meninjau bahasa dan kebudayaan.
Selain itu, berdasarkan Kamus Dewan (2005: 1519), sosiolinguistik ditakrifkan sebagai kajian bahasa dalam hubungannya dengan struktur dan sikap masyarakat.
Menurut Nikolas Coupland dan Adam Jaworski pula sosiolinguistik merupakan kajian tentang bahasa dalam konteks sosial melalui linguistik.
Manakala menurut Dell Hymes pula sosiolinguistik dapat dipakai sebagai petunjuk tentang kemungkinan pemakaian data dan analisis linguistik dalam disiplin-disiplin lain yang berhubungan dengan kehidupan sosial dan demikian juga sebaliknya iaitu pemakaian data dalam masyarakat.
Konklusinya, sosiolinguistik ialah bidang yang memberi tumpuan kepada bahasa dan hubungannya dengan masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih ^______^